Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM100 juta diperuntukan melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi melaksanakan program-program ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ pelajar dan juga graduan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program tersebut dilaksanakan dalam bentuk latihan kemahiran jangka pendek dan sederhana bagi memberi nilai tambah kepada sejumlah 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

“Antara bidang latihan kemahiran yang disediakan termasuklah latihan kemahiran keusahawanan dan Gig ekonomi.

“Graduan yang mengikuti program latihan kemahiran keusahawanan ini akan dipadankan dengan agensi pendanaan di akhir program bagi membolehkan mereka terus membuka ataupun meluaskan lagi perniagaan mereka sebaik sehaja menamatkan latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (BN-Pontian), Datuk Seri Ahmad Maslan yang ingin tahun berkenaan usaha baru dan lama dibuat oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi bagi menambah bilangan usahawan di kalangan graduan dan lepasan institusi di bawah kementerian dan setakat mana kejayaan yang dicapai.

Noraini berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian itu telah berjaya melahirkan ramai usahawan berwibawa di kalangan graduan.

Dengan memberikan contoh, dua graduan yang berjaya selepas mengikuti program berkenaan beliau berkata, seorang daripadanya kini merupakan ketua pegawai eksekutif yang mengurus lebih 230,000 aplikasi web dari lebih 100 buah negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom dan India yang menjadi pasaran utama syarikat berkenaan.

Seorang lagi katanya, merupakan graduan wanita yang menceburkan diri dalam bidang penjagaan diri dan perniagaan dalam talian.

Katanya, graduan dari Universiti Malaysia itu katanya telah berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke Singapura, Brunei, Thailand dan Korea.

“Ini hanya dua contoh usahawan graduan berbanding ramai lagi usahawan yang cemerlang.

“Dalam memperkasakan agenda keusahawanan, lementerian juga sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025 (PTK IPT 2021 – 2025) dan MOHE GuideTo Entrepreneurship Integrated Education (EIE) yang akan menjadi guiding principle yang lebih tuntas dalam upaya pembentukan ekosistem keusahawanan di IPT,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.