Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan penilaian risiko terhadap pembukaan semula taman asuhan kanak-kanak (taska) yang ditutup selepas berlakunya gelombang ketiga Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada pusat penjagaan kanak-kanak itu boleh dibuka semula atau tidak bergantung kepada hasil penilaian risiko oleh KKM.

“Ini adalah soalan yang berulang kali ditanyakan dan saya sudah bentangkan di mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi banyak perkara yang perlu diberi pertimbangan teliti.

“Kami juga telah meminta KKM untuk membuat penilaian risiko bagi mengkaji sebesar mana risiko terutamanya kepada kanak-kanak itu jika taska dibuka semula.

“Perkara ini perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu timbul masalah di kemudian hari dan kita juga pastinya akan rasa bersalah sekiranya sesuatu berlaku terhadap kanak-kanak tersebut selepas pusat penjagaan taska dibenarkan untuk beroperasi,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan maklum mengenai kebimbangan pengusaha taska apabila mereka tidak dibenarkan beroperasi.

Malah perintah penutupan pusat jagaan kanak-kanak dan taska itu juga menurut beliau menyukarkan ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja.

“Kami maklum mengenai masalah ini, pemilik taska ada risiko kewangan, ibu bapa pula tiada tempat untuk hantar anak-anak apabila mereka terpaksa keluar bekerja tetapi perkara ini perlu diteliti sedalam-dalamnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette