Nama Rasul terakhir tertera di pintu gerbang Masjid Jamek Kampung Baru ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 29 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan dilaksana melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Sementara itu katanya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB.

Tengku Zafrul berkata, menerusi perkhidmatan itu, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit mereka ke tabung wakaf ASNB.

“Pemegang unit berkenaan layak mendapat pemotongan cukai pendapatan.

“Pulangan berterusan daripada tabung wakaf berkenaan akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB,” katanya. – MalaysiaGazette