Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bersiap sedia sebelum melakukan kerja-kerja saringan terhadap penduduk Plaza Hentian Kajang yang telah dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,755 kes positif baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari, jumlah harian tertiunggi sejak Mac lalu.

Sebanyak 726 kes pulih direkodkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya adalah 26,380 kes.

Berikutan itu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 38,189 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,530 kes.

Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan 1,199 kes atau 68 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan 191 kes (10.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 59 kes positif (3.4 peratus) pada hari ini.

“Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyumbang sebanyak 1,449 kes (82.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini.

“Daripada 1,755 kes baharu hari ini,terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua warganegara dan seorang warga asing yang tiba dari negara Arab Saudi (satu di Sarawak) Afrika Selatan (satu di WPKL) dan Myanmar ( satu di Johor),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini terdapat 83 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 32 kes masih memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 279 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kematian ke 278 adalah membabitkn kes ke-35982 seorang wanita tempatan berasal dari Sabah berusia 67 tahun mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan asma meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Dutchess of Kent.

“Manakala kematian ke-279 adalah kes ke-35303 lelaki warga asing berusia 54 tahun dari Kedah yang mempunyai penyakit darah tinggi, buh pinggng kronik dan strok meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya. – MalaysiaGazette