Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 ringgit untuk tempoh 12 bulan.

Pengeluaran tersebut, menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz  adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

“Sebagai Kerajaan yang prihatin, adalah wajar sebarang keputusan yang dibuat perlu berhati-hati dalam mengimbangi keperluan rakyat hari ini dan kebajikan pada masa hadapan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman minimum KWSP pekerja daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.

Katanya, keputusan tersebut akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga 9.3 bilion ringgit.

Selain itu, menurut beliau, KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran
i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak 500 ringgit sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga 6,000 ringgit.

Skim tersebut, katanya, telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai 11.6 bilion ringgit.

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga 12 ribu ringgit.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan 4 bilion ringgit. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya.

Pengumuman kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 akaun 1 KWSP itu menjawab gesaan pelbagai pihak yang mahu diberi kebenaran berbuat demikian dalam menghadapi kesukaran hidup berikutan penularan Covid-19 yang telah memaksa langkah kawalan pergerakan dilaksanakan. – MalaysiaGazettte

1 Komen

Comments are closed.