Pemandu teksi menonton pembentangan Belanjawan 2021 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Azizi menerusi telefon pintar ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Chow Kit. foto AFIQ HAMBALI, 6 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Mulai bulan Januari 2021, bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 fasa kedua sebanyak RM2.2 bilion akan disalurkan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, bagi tahun 2021, kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup atau BSH kepada Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

Kadar bantuan dan kategori pendapatan adalah seperti berikut:

Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan.

Isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM 5,000 akan menerima RM 500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih.

Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350.

Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH. – MalaysiaGazette