Muhyiddin bersama Tengku Zafrul memegang buku Belanjawan 2021 selepas selesai membentangkan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR- Kain sampin songket yang dipakai Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat merupakan hasil tangan penghuni Penjara Penor di Pahang.

“Sampin yang saya kenakan pada hari ini adalah tenunan Diraja Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan peruntukan Jabatan Penjara Malaysia sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Insan antaranya untuk memberikan kemahiran vokasional kepada banduan.

“Melalui program ini, banduan penjara menghasilkan pelbagai jenis produk di bawah MyPRIDE dan Tenun Pahang Diraja,” katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat, potongan cukai tambahan yang diberikan kepada majikan yang menggaji golongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

Sementara itu, Penghuni Penjara Penor yang menghasilkan kain tenun di Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara sebelum ini pernah menerima kunjungan Permaisuri Agung, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – MalaysiaGazette