Temubual Eksklusif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Belanjawan 2021 dan Cabaran Semasa turut ditonton pengunjung restoran Abang Ton, Gombak. foto AFIQ HAMBALI, 07 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat kerajaan untuk mempelawa pemimpin pembangkang bersama-sama dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya setiap minggu.

Menurut beliau, ia merupakan langkah permulaan melibatkan pemimpin pembangkang selepas pembentangan Belanjawan 2021 yang turut menyaksikan pihak Kementerian Kewangan menjalankan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang.

Kata Perdana Menteri, pelawaan untuk pembangkang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat membuat keputusan dan dasar itu juga merupakan usaha kerajaan memperluas kerjasama bipartisan.

Selain EAC, Muhyiddin berkata, penglibatan pembangkang juga akan dipanjangkan dalam mesyuarat harian pengurusan pandemik Covid-19 yang juga dipengerusikan oleh beliau.

“Jika pendekatan kita tidak berkesan, mungkin pembangkang ada cadangan yang berkesan, yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” katanyanya dalam temu bual yang disiarkan secara langsung malam ini.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan baharu itu adalah untuk kebaikan semua kerana belanjawan yang dibentangkan bukan untuk kerajaan semata-mata sebaliknya ia merupakan belanjawan rakyat.

“Kita nak dilihat mesra pelanggan, kalau baik cadangan itu, kita ambil. Ini langkah permulaan, seterusnya saya nak pelawa pembangkang untuk bersama-sama misalnya duduk dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang saya pengerusikan setiap minggu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sebagai Perdana Menteri, beliau mahu mendengar pandangan dan buah fikiran pembangkang dalam apa sahaja isu yang mencakupi perihal rakyat.

Bahkan, tegas beliau, sekiranya pembangkang mempunyai idea dan saranan yang baik dan langkah yang difikirkan berkesan, mereka terbuka untuk berkongsi dengan kerajaan.

“Bukan soal nak dapat kredit kepada mereka saja, tapi untuk rakyat dapat faedah daripada pandangan mereka,” kata beliau lagi.

Ditanya sama ada pendekatan inklusif itu turut menjangkau kerjasama politik, Muhiddin berkata, beliau tidak mahu meramalkan perkara itu kerana perkara paling pokok adalah menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. – MalaysiaGazette