Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu disifatkan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap situasi semasa rakyat.

Malah, ia merupakan satu belanjawan yang lengkap apabila menggariskan strategi serta kesediaan kerajaan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global tahun hadapan, kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM322.5 bilion, Belanjawan 2021 mengandungi pelbagai inisiatif yang dapat
meringankan tanggungan rakyat dan menawarkan perlindungan sosial yang lebih baik kepada rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Selain meningkatkan kadar bantuan kebajikan kepada warga emas, golongan OKU dan kanak-kanak daripada keluarga miskin, Bersatu juga menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membela golongan rentan dengan memberikan nilai bantuan yang lebih
tinggi dan bersasar melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, Belanjawan 2021 menawarkan pelbagai kemudahan, insentif dan pengecualian cukai perniagaan kepada para pelabur, peniaga serta pemain industri bagi tujuan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan berdaya saing tinggi.

Justeru katanya, Bersatu menyeru kepada semua pihak untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan dan segala
perancangan yang terkandung dalam Belanjawan 2021 dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan kemapanan ekonomi negara. – MalaysiaGazette