Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Ikhtisas dan Kluster Berendam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Ikhtisas melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor; Jeli, Kelantan dan Seremban, Negeri Sembilan.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-33122) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pra pembedahan pada 29 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 21 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga jam 12 tengahari, sejumlah 362 individu telah disaring, yang mana 22 kes dikesan positif Covid 19 melibatkan lapan kes baharu hari ini, 213 kes negatif dan 127 individu masih menunggu keputusan.

Kluster kedua yang dikesan hari ini melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, Melaka.

Kes indeks bagi Kluster Berendam (iaitu kes ke-32489, kes ke-39353, dan kes ke-39354) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lima lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

Sejumlah 1,861 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif Covid-19 melibatkan tiga kes baharu hari ini, 109 disahkan negatif manakala 1,744 masih menunggu keputusan.

Dalam masa yang sama, Dr. Noor Hisham turut mengisytiharkan penamatan dua kluster pada hari ini iaitu Kluster Putra dan Kluster Kuarters.

Kluster Putra melibatkan daerah Bintulu, Sarawak yang mana setakat hari ini seramai 190 orang telah disaring.

Lima daripadanya positif manakala baki 185 orang adalah negatif. Tiada kematian direkodkan dalam kluster tersebut.

Kluster kuarters pula melibatkan daerah Tongod, Telupid dan Kinabatangan di Sabah.

Sehingga hari ini, seramai 1,432 orang telah disaring yang mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 dan baki 1,423 orang adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan dalam kluster ini. – MalaysiaGazette