Keadaan mayat mangsa kemalangan yang tersepit di bulatan Batu Caves Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Dua sahabat maut setelah kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di bulatan Batu Caves Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan, kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 29 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak hospital yang datang untuk memberikan bantuan.

Menurutnya, PGO KL menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pukul 6.48 pagi tadi dan kemudian menghantar anggota daripada Balai Bomba Jinjang.

“Setibanya jentera dilokasi kejadian terdapat sebuah kereta jenis Toyota Wish telah terbabas melanggar penghadang jalan dan terdapat dua orang mangsa di dalam kereta tersebut.

“Penumpang kereta terbabit seorang lelaki berbangsa Cina telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, anggota bomba terpaksa memotong pintu kenderaan terbabit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian hadapan.

Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette