Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membatalkan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh negara.

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan untuk membatalkan HSN 2020 merupakan langkah berjaga–jaga yang diambil bagi mengelak risiko penyebaran Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan demi memelihara kesejahteraan serta keselamatan semua pihak.

“Ini adalah selaras dengan kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 2 Oktober lepas berkenaan penangguhan sambutan tersebut dengan mengambil kira situasi peningkatan jumlah kes Covid-19 pada awal bulan Oktober lalu,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu mengingatkan semua penggiat sukan untuk kekal sihat dan aktif selain sentiasa menjaga diri serta mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan KBS, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan peraturan pihak berkuasa tempatan berkaitan. – MalaysiaGazette