Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk mempertimbangkan semula keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lebih banyak negeri dan wilayah yang dimulakan esok.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan itu dengan membezakan prinsip menyelamatkan nyawa dan prinsip menyelamatkan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak.

“Kerajaan harus mempertimbangkan kembali keputusan untuk mengenakan PKPB….mengambil kira pengajaran dari sepuluh bulan terakhir memerangi pandemik Covid-19 dengan fleksibiliti yang lebih baik.

“(Tujuannya adalah) untuk membolehkan rakyat Malaysia meneruskan hidup di samping kewujudan virus ini tanpa merosakkan mata pencarian dan harapan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada langkah kerajaan yang mengenakan PKPB di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan memanjangkan PKPB di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.

Langkah itu ekoran berlaku peningkatan ketara kadar kebolehjangkitan Covid-19.

Pelaksanaan PKPB itu kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti untuk bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Johor masih mempunyai tiga zon hijau yang tiada kes penularan pandemik Covid-19 selama 14 hari, manakala hanya satu zon merah di Johor.

Ketiga-tiga daerah ini adalah Mersing, Segamat dan Batu Pahat.

“Di Perak, hanya daerah Kuala Kangsar yang berada di zon merah iaitu lebih daripada 40 kes, sementara tiga daerah di Kinta, Kerian dan Larut Matang, Selama berada di zon jingga antara 21-40 kes, empat daerah di Batang Padang, Manjung, Bagan Datuk dan Muallim di zon kuning manakala terdapat empat daerah di Hulu Perak, Kampar, Hilir Perak dan Perak Tengah yang berada di zon hijau tanpa kes tunggal Covid-19 dalam 14 hari terakhir” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alasan Covid alasan paling ngam untuk selamatkan jawatan.Aku tak pernah percaya hal covid,semua hanya diversion…

Comments are closed.