PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SUNGAI SIPUT – Polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel telekomunikasi di daerah ini membabitkan kerugian sekitar RM200,000 selepas menangkap seorang lelaki kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang berumur 38 tahun itu ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas mencuri kabel di Ladang Changkat Salak di sini kira-kira 4.20 petang Jumaat.

Menurut Mohd Khaizam, dalam cubaannya melarikan diri, suspek yang menunggang motosikal turut melanggar seorang anggota polis menyebabkan kecederaan pada kaki dan tangan mangsa.

“Selepas melanggar anggota berkenaan, suspek cuba melarikan diri ke jalan besar tetapi motosikal yang ditunggangnya terbabas. Hasil pemeriksaan pada motosikal itu menemukan 98 batang kabel yang dipotong serta peralatan mencuri.

“Siasatan lanjut mendapati suspek ini terlibat dalam sembilan kes kecurian kabel sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khaizam berkata, suspek mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

Suspek kini direman lima hari hingga 11 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama