Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Para peniaga bakal berdepan tindakan tegas sekiranya cuba menaikkan harga barang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung sehingga 6 Disember depan di beberapa buah negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil jika didapati ada peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit cuba mengambil kesempatan melakukan aktiviti mencatut semasa situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

“Para peniaga juga diingatkan untuk memastikan barangan jualan
diletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat untuk perbandingan harga sebelum melakukan sesuatu pembelian serta merancang perbelanjaan mereka.

“KPDNHEP sentiasa memandang serius isu peniaga cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti mencatut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Alexander, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 12 barang keperluan harian pengguna telah dipantau secara harian oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.

Antara barang keperluan yang dipantau itu ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

“Pemantauan 12 barang keperluan asas ini meliputi 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 198 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 587 DUN.

“Justeru, tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik
dan menyimpan stok barangan di rumah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebagai persediaan menghadapi musim banjir di negeri-negeri yang bakal terjejas pada musim tengkujuh, pihaknya turut melakukan pemantauan harian bagi memastikan keberadaan bekalan makanan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi dan diperolehi pada harga munasabah.

Jelasnya, sejumlah 473,899 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pematuhan semua undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

“Ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan dan lain-lain premis.

“Daripada operasi pemeriksaan itu, 4,673 kes sudah dikenakan
tindakan mengikut pelbagai akta membabitkan nilai rampasan berjumlah RM60,657,836.00.

“Keseluruhannya, sebanyak 3424 kes telah dikompaun sepanjang
tempoh PKP/PKPB/PKPP1/PKPP2 ini membabitkan kutipan kompaun berjumlah RM 1,506,752.00,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, penghasilan kes tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,477 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,306 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 381 kes.

“Secara keseluruhan, tiada pembelian panik dan trend pembelian
adalah pembelian normal ke atas premis-premis runcit yang diperiksa oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP.

“Manakala bekalan barangan di peringkat pemborong dan pengilang, mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa,” jelasnya.

Justeru, Alexander menasihatkan pengguna agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan setiap hari dan premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit juga beroperasi seperti biasa. – MalaysiaGazette