Keputusan mengejut yang dibuat pada pagi Ahad  mengakibatkan ibu bapa panik kerana tidak membuat persediaan khususnya perlu meminta kebenaran untuk merentas negeri terlebih dahulu sebelum mengambil anak-anak di sekolah berasrama di negeri lain.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Banyak pihak akur keputusan penutupan semua sekolah di seluruh negeri dilakukan demi mengawal penularan wabak Covid-19 namun pengumumannya dilihat terlalu mendadak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, keputusan mengejut Ahad lalu  mengakibatkan ibu bapa panik.

Ini kerana tidak membuat persediaan khususnya untuk meminta kebenaran merentas negeri terlebih dahulu sebelum mengambil anak-anak di sekolah berasrama di negeri lain.

Mohamad Ali rasa terkejut kerana kelazimannya KPM membuat pengumuman lebih awal daripada melaksanakan suatu ketetapan.

“Saya difahamkan peringkat awal segala pengumuman penutupan daripada KPM diumum dua minggu sebelum pelaksanaannya seperti yang terdahulu kali ini agak mendadak mungkina ada sebab-sebab tertentu.

“Di situ timbul pertanyaan kalau (ibu bapa) tidak boleh rentas negeri dalam masa terdekat, bagaimana pelajar di negeri lain nak balik?” soalnya kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun ujarnya, kali ini beliau menganggap keputusan KPM adalah demi mengutamakan keselamatan pelajar-pelajar agar tidak terdedah dengan penularan Covid-19.

Namun beliau turut berharap agar urusan pergerakan rentas negeri ibu bapa termasuk pelajar akan dipermudahkan oleh semua pihak berkuasa.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menerusi sidang media khasnya pada 11. 30 pagi mengumumkan semua sekolah termasuk kolej vokasional seluruh negara ditutup bermula 9 November sehingga 17 Disember 2020 selepas mempertimbangkan peningkatan kes Covid-19.

Beliau turut mengumumkan semua peperiksaan utama termasuklah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditunda ke tahun hadapan, susulan pelaksanaaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh negara, melainkan Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berharap agar KPM menggunakan pendekatan pembelajaran dalam talian yang berkesan kepada semua pelajar termasuklah untuk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Walaupun peperiksaan utama ditunda kepada tahun depan, namun perlu dipastikan tidak ada satu pelajar yang tercicir dalam mengikuti perkembangan harian pembelajaran.

“KPM mesti berlaku adil terhada semua terutamanya yang mereka tercicir (yang tinggal jauh) dan tidak ada kemudahan sistem pembelajaran atas talian.

“Perlu juga pastikan sejauh mana kurikulum diikuti, apakah sukatan peperiksaan sudah seratus peratus diikuti kepada pelajar,” tambahnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Susah yeer jadi menteri, umum salah,Tak umum Salah, umun awal Salah, umum lewat pun salah, mesti Ada jer alasan yg diberi

Comments are closed.