Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan esok, ditangguh sekali lagi berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 14 hingga 17 Dis untuk menyambung semula perbicaraan itu yang sepatutnya berlangsung esok hingga 12 Nov di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

“Kami telah dimaklumkan mengenai tarikh baharu perbicaraan itu oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad melalui e-mel pagi ini,” katanya.

Apabila perbicaraan disambung semula, pihak pembelaan dijangka meneruskan soal balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.

Pada 5 Okt, mahkamah menangguhkan perbicaraan ke 19 Okt selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menunda kes berkenaan kerana bekas perdana menteri itu menjalani kuarantin dua minggu selepas pulang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri di Sabah bulan lepas.

Mahkamah kemudian menjadualkan semula tarikh perbicaraan kepada esok susulan pelaksanaan PKPB.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

— BERNAMA