Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican.

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan M40 termasuk ketika membentangkan Belanjawan 2021.

Menurut Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican, belanjawan kali ini memang memberi fokus yang lebih kepada golongan berpendapatan rendah dan  terjejas teruk  akibat pandemik, namun kerajaan tetap memberikan pelbagai insentif untuk golongan pertengahan.

Ini termasuk penurunan cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi individu berpendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.

Penurunan ini dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Tambah Johan, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup sehingga RM500 kepada RM3,000 berbanding maksimum RM2,500 sebelum ini.

Ini dikhususkan bagi perbelanjaan peralatan sukan, bayaran kemasukan, sewaan fasiliti sukan dan penyertaan pertandingan sukan.

Skop pelepasan cukai bagi surat khabar harian bercetak pula diperluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik.

Selain itu, had pelepasan cukai bagi  skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dicadangkan untuk dinaikkan daripada sehingga RM500 kepada sehingga RM1,000.

Skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan juga dicadangkan diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan COVID-19 apabila vaksin telah tersedia.

Had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

“Dalam keadaan semasa memang Perdana Menteri mahu keutamaan diberikan untuk golongan yang susah.

“Memang (Belanjawan 2021) menyaksikan peningkatan bantuan kebajikan untuk golongan miskin dan terjejas.

“Tetapi kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan M40.

“Selain penurunan cukai pendapatan dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Belanjawan 2021 turut mencadangkan beberapa pelepasan cukai pendapatan individu untuk membantu meringankan beban M40.

“Pengurangan caruman KWSP daripada sembilan peratus kepada tujuh peratus juga melibatkan wang sebanyak RM9 bilion dan ini akan memberi manfaat kepada M40 berbanding B40,” katanya lagi.

-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.