Pengasas Genius Aulad, Zaliza Alias bercakap pada Sidang Media ‘’Sokongan untuk kelangsungan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di Malaysia’’ di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2020.

CYBERJAYA – Semua pengusaha persatuan pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta menggesa kerajaan mengkaji semula langkah penutupan sesi persekolahan sehingga Januari tahun depan.

Ini kerana, penutupan sesi persekolahan yang panjang bukan sahaja boleh menyebabkan lebih banyak pengusaha akan gulung tikar malah turut menimbulkan masalah secara langsung khususnya kepada golongan ibu bapa yang berkerja.

Wakil pengusaha persatuan pendidikan awal kanak-kanak, Zaliza Alias berkata, mereka ingin menarik perhatian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) berhubung isu dan kesan penutupan jangka panjang bagi Pendidikan Awal Kanak-kanak dan sesi persekolahan di Malaysia.

Katanya, kesemua mereka akur dengan ketetapan yang diberikan untuk penutupan selama empat bulan di hampir seluruh Malaysia namun perhatian dan penyelesaian perlu diberikan untuk strategi kelangsungan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Katanya, industri tersebut merupakan sokongan komuniti yang penting bagi pembangunan pendidikan, ekonomi dan
masyarakat.

“Situasi Covid-19 tidak akan berakhir dan akan sentiasa ada turun naik sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi. Oleh itu strategi PKP /PKPP /PKPB dan sebagainya akan lebih memburukkan keadaan ekonomi dan masa depan pendidikan kanak-kanak dan perkembangan mereka dari sudut
jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

“Ramai ibu bapa dari golongan profesional hinggalah golongan B40 yang terkesan untuk hampir setahun pendidikan secara online dirumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zaliza yang juga pengasas pusat perkembangan kanak-kanak Genius Aulad berkata, pihaknya mencadangkan agar penutupan hingga akhir Disember ini dan pengumuman dibuat untuk tadika manakala sekolah dibuka pada awal Januari tahun depan.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat kes Covid-19 yang baharu,
penutupan perlu dibuat dengan lebih bersasar hanya dengan menumpukan hanya kepada kawasan tadika dan sekolah yang mempunyai kes sahaja.

Tambah beliau, pendidikan swasta di peringkat sekolah dan pra-sekolah adalah satu komponen penting di dalam sistem pendidikan di negara ini selain, ia turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan sumber manusia.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada
pengusaha-pengusaha pendidikan swasta. Oleh kerana sekolah tidak dapat dibuka dan pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibuat secara emergency remote teaching (ERT), kebanyakan sekolah tidak dapat mengutip yuran penuh daripada ibu-bapa,” jelas.

Kata beliau lagi, sekiranya keadaan berterusan, para pengusaha-pendidikan swasta akan menghadapi masalah aliran tunai yang tenat sehingga mengancam viabiliti sekolah-sekolah berkenaan dan berkemungkinan sebahagian besanyar akan terpaksa menutup operasi.

“Oleh itu, kami memohon ihsan pihak Kementerian Pendidikan untuk insitusi pendidikan swasta beroperasi untuk semua kelas dengan SOP yang ketat mengambil-kira peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sekiranya kanak-kanak boleh dibenarkan untuk ke pusat membeli-belah dan pasar raya-pasar raya, restoran dan tempat makan awam dan sebagainya, kami berharap KPM dapat melihat rasional dan keperluan untuk dikaji semula tempoh penutupan selama empat bulan ini.

“Kami ingin menegaskan sekali lagi keperluan supaya perhatian
dan solusi diberikan untuk strategi kelansungan Pendidikan Awal
Kanak-Kanak, oleh kerana industri ini adalah sokongan komuniti yang penting untuk pembangunan ekonomi dan masa depan pendidikan kanak-kanak .

Bagi tujuan itu juga satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok agar penelitian semula berhubung perkara berkenaan dpat diambil. – MalaysiaGazette