Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media untuk mengulas cadangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan  peruntukan Belanjawan 2021 untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)  sebanyak RM85.5 juta  berpatutan kerana sejumlah daripadanya untuk membela nasib bekas pekerja.

Ini kerana beliau dimaklumkan lebih kurang RM50 juta daripada peruntukan itu bakal digunakan  untuk membayar gaji  bekas kakitangan yang  diberhentikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mengganggap RM85.5 juta untuk JASA tidak sepatutnya menjadi isu.

“Saya dapat informasi daripada Menteri Kewangan  (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) yang memberikan justifikasi tentang peruntukan tersebut yang mana mungkin orang ramai nak tahu.

“Saya diberitahu, sebahagian duit peruntukan melibatkan  bayaran kepada kakitangan JASA yang pernah dibuang sebelum ini semasa kerajaan PH semasa Lim Guan Eng berkuasa dulu.

“Jadi, salah satu peruntukan ini untuk membayar balik gaji, elaun, kakitangan JASA yang begitu ramai diberhentikan dulu. Kalau RM30 juta untuk penggunaan JASA selainnya tidak ada isulah,” jelas beliau ketika sidang media hari ini.

Belanjawan 2021 memperuntukkan jumlah sebesar lebih RM80 juta JASA yang kemudiannya menjadi pertikaian pelbagai pihak termasuklah beberapa pemimpin UMNO dan parti pembangkang.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di persidangan Dewan rakyat menggesa agar peruntukan berkenaan dibatalkan.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dilihat curiga dengan motif kerajaan untuk memberikan dana   besar kepada jabatan tersebut yang disifatkannya mempunyai kaitan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk  menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah dilaporkan  terkejut dengan peruntukan tersebut. -MalaysiaGazette