Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe (kiri) bersama anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis perindustrian yang disyaki terbabit dalam pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor di di Taman Velox, Rawang. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2020.

RAWANG – Polis yang melakukan seiasatan terhadap pencemaran bau air di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Rawang menemui premis yang menyimpan cecair kimia di  Taman Velox, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, setor itu telah menyimpan bahan kimia tersebut sejak dua minggu lalu dan bayaran pertama sebanyak RM3,800 telah dibayar suspek.

“Kita turun bersama pasukan Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urusan Air Selangor dan polis forensik mendapati sebanyak 40 tong kimia disyaki bahan buangan berjadual (dengan) isipadu 1,000 liter setong disimpan dalam premis ini.

“Wanita India Muslim berusia 40 tahun bersama pasangannya yang ditahan dan direman pagi ini menyewa dan simpan bahan buangan ini untuk dilupuskan secara senyap.

“Malah dalam premis ini ada pembuangan bahan kimia dilakukan melalui lubang kumbahan yang bersaiz sama seperti disediakan di atas jalan dengan penutup besi yang mengalir terus ke LRA Taman Velox pada jarak 300 meter dari premis berkenaan,” katanya  memeriksa premis berkenaan hari ini.

Semalam, LRA Sungai Selangor Fasa, 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah dihenti tugas antara jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari disebabkan oleh pencemaran bau seakan pelarut telah dikesan di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan bau telah dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang.

Berikutan itu, empat suspek termasuk seorang warga Bangladesh ditahan polis berhubung insiden pencemaran bau air LRA itu.

Menurut Arifai, selepas menghentikan tugas LRA itu, Lembaga Urus Air Selangor dan  Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjejaki lokasi punca pencemaran yang membawa sehingga ke premis tersebut di Taman Velox.

“Bahan kimia yang belum pasti sukatannya yang dilepaskan dalam lubang kumbahan dalam premis yang kemudian mengalir sehingga ke loji dan melimpah,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabtan Kimia mengenai kuantiti serta jenis bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai itu.

Sementara itu, Arifai berkata, polis bertoleransi dengan mana-mana pihak dalam soal pencemaran sungai in. – MalaysiaGazette