Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sesuai diperkenalkan semula ketika negara sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Namun Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem cukai kepenggunaan yang dilaksana 170 negara mungkin boleh diperkenalkan semula kemudian dengan kadar yang lebih rendah sebelum ini iaitu antara 4% hingga 5%.

“Alangkah baiknya jika GST masih ada.

“Hikayat lama diceritakan ketika Hang Jebat mengamuk, maka Raja bertitah kepada Bendahara, alangkah baiknya jika Hang Tuah masih hidup,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu merupakan antara pemimpin yang sering mempertahankan pelaksanaan GST sebanyak 6% ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Menurut Ahmad, GST pasti boleh meningkatkan hasil dan mengawal ketirisan cukai bagi manfaat rakyat.

Jelas beliau, bagi tahun 2020  hasil kerajaan berkurang sebanyak 18% iaitu sebanyak RM42 bilion namun jika GST dilaksanakan negara akan mengutip hasil kira-kira RM44 bilion dan ia dapat menampung kekurangan hasil RM42 bilion ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19 selain pendapatan merosot,

“Mungkin satu masa yang entah bila, GST 6% atau apa kadar yang lebih rendah daripada SST 10% akan dikembalikan bagi manfaat rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad menyokong moratorium kepada semua peminjam dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Bagaimanapun, selepas tempoh tersebut beliau mencadangkan agar mereka yang mempunyai pinjaman di bawah RM500,000 diberi penangguhan pembayaran secara automatik sekiranya keadaan Covid-19 masih belum pulih.

“Dengan itu pinjaman berjumlah yang banyak oleh T20 dan syarikat besar dengan sendiri terkecuali kerana keupayaan mereka dan pada masa yang sama kita boleh terus membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

Tambah beliau, jumlah pinjaman sebanyak RM500,000 boleh diubah mengikut kesesuaian berdasarkan jumlah paling ramai rakyat yang boleh dibantu.

Dalam pada itu, Ahmad mencadangkan inisiatif pengeluaran akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah dilaksana dipendekkan daripada RM500 sebulan selama 12 bulan kepada RM1,500 sebulan selama empat bulan, menjadikan jumlah pengeluarannya juga sebanyak RM6000.

Sementara akaun 1 pula dibenar keluar sekaligus sebanyak RM10,000 jika simpanan melebihi RM10,000, ujarnya.

Tambah beliau, bagi simpanan yang kurang daripada RM10,000 beliau mencadangkan pengeluaran dibenarkan sebanyak 50% dan baki 50% dikekalkan untuk simpanan hari tua.

“Namun dicadang pengeluaran Akaun 1 itu hendaklah atas keputusan individu rakyat dan dipulangkan kepada hasrat rakyat. Kepada yang hendak perlu dibolehkan dan kepada yang tidak mahu maka terpulang kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette