Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakar perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr. Malina Osman berpendapat prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti sukan dan riadah di kawasan kawalan pergerakan perlu diperketatkan, sementara waktu operasi kedai dan pusat komersial harus dipendekkan.

Dr. Malina mencadangkan jumlah perserta aktiviti sukan dan rekreasi berkumpulan dikurangkan daripada 10 orang kepada lima orang untuk mengekang penularan COVID-19.

Selain itu, orang ramai yang baru sahaja menjalani aktiviti sukan harus dilarang memasuki restoran untuk menjamu selera atau memasuki kedai untuk membeli-belah.

Dr. Malina turut berpendapat bahawa waktu operasi perniagaan harus diselaraskan kepada pukul 6 pagi hingga 8 malam, berbanding sehingga 10 malam pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas pertimbangan kerajaaan untuk mengetatkan lagi SOP sedia ada.

Dr. Malina berkata, peningkatan kes COVID-19 adalah hasil saringan dan jejak kes yang gigih oleh pihak berkuasa dan keadaan itu tidak melambangkan keadaan wabak di Malaysia sudah tidak terkawal.

Selain itu, peningkatan kes juga mungkin ada kaitan dengan tahap kepatuhan SOP, termasuk di tempat kerja, yang kurang memuaskan.

“Walau bagaimanapun, keadaaan wabak secara keseluruhannya masih terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette