Amirudin menghidu sampel air sungai yang tercemar dengan bahan kimia, punca LRA Sungai Selangor terpaksa dihentikan.

KUALA LUMPUR – Keempat-empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula sejak pukul 2.40 pagi tadi secara berperingkat-peringkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, sehingga jam 7.00 pagi ini, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman.

“Ia dilakukan di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Semalam, LRA Sungai Selangor Fasa, 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah dihenti tugas antara jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari disebabkan oleh pencemaran bau seakan pelarut telah dikesan di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan bau telah dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang.

Dalam pada itu, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna.

Tambahnya, Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka mula diterima oleh pengguna pada jam 3.00 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

“Bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor akan diteruskan bagi membantu para pengguna yang terjejas.

“Ini termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat Setempat, serta mengagihkan air minum 5 liter,” katanya.

Air Selangor turut akan memaklumkan pelan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasminya termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette