Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti tidak menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Zon Timur di Doha, Qatar susulan keputusan kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan dasar itu yang tidak membenarkan rakyat ke luar negara serta kemasukan warga asing ketika ini turut meliputi pasukan bola sepak.

“Pertama sekali kami tidak benarkan atas alasan ia adalah kerana tertakluk kepada dasar sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan ke luar negara.

“Jadi dalam kes bola sepak, kami juga tidak benarkan untuk menjamin keselamatan pemain-pemain kalau mereka ke luar negara kerana kami tidak tahu bagaimana SOP ditetapkan di sesebuah negara,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur dijadual berlangsung dari 18 Nov hingga 13 Dis, dengan JDT yang merupakan juara Liga Super 2020 dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G.

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu akan menentang kelab China, Guangzhou Evergrande pada 19 Nov; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan (25 Nov); pasukan Jepun Vissel Kobe (1 Dis); sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal, sekali lagi menentang Guangzhou Evergrande pada 4 Dis.

Semua perlawanan itu akan berlangsung di Doha, Qatar.

JDT berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan G dengan mengutip tiga mata selepas dua perlawanan (satu menang dan satu kalah).

Vissel Kobe kekal di kedudukan teratas dengan enam mata daripada dua perlawanan.- BERNAMA