Pengerusi Untuk Malaysia, Dr. Maszlee Malik semasa pada Sidang Media Khas Gerakan #Untuk Malaysia di Perdana Lakeview, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2020

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini melancarkan gerakan baharu yang dipanggil ‘Untuk Malaysia’.

Gerakan tersebut tidak bersifat kepartian, sebaliknya ia merupakan satu gerakan rentas ideologi yang menyatukan rakyat Malaysia untuk menyelesaikan isu pendidikan.

Dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini, bekas Menteri Pendidikan itu berkata, tiada isu pendidikan yang tidak boleh diselesaikan dan bagi memulakan gerakan itu inisiatif turut diambil oleh pemegang taruh apabila duduk semeja dengan membincangkan isu-isu yang selama ini tidak berjaya diselesaikan.

“Untuk Malaysia adalah gerakan yang merentasi ideologi dan memusatkan perhatian kepada isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan.

“Gerakan ini bukan parti politik,” katanya pada sidang media berkenaan.

Beliau yang merupakan pengerusi gerakan tersebut menegaskan, gerakan itu juga bukanlah sebuah bentuk pertubuhan, sebaliknya ia bergantung penuh kepada penyertaan masyarakat awam yang peduli dan prihatin terhadap isu pendidikan.

Ujarnya, dengan adanya gerakan itu lebih ramai lagi yang akan mendapat manfaat dalam masa terdekat terutamanya kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Malah katanya, gerakan itu turut terbuka kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi, parti politik, identiti, usia mahupun latar belakang.

Tambah beliau, rakyat Malaysia boleh memohon bantuan melalui portal untukmalaysia.my namun, pada peringkat awal permohonan akan disaring mengikut keperluan dan tertakluk kepada dana yang dikumpul melalui kutipan di portal berkenaan.

Beliau berharap agar penyelesaian terhadap isu-isu yang selama ini tidak berjaya diselesaikan dapat dirungkai dengan adanya gerakan tersebut.

“Oleh yang demikian, hari ini saya hadir untuk menawarkan wahana untuk menjadi jambatan kepada rakyat Malaysia yang cintakan pendidikan.

“Dengan rendah diri dan sepenuh hati saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia bersama-sama dengan saya di dalam gerakan Untuk Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.