M
Maszlee Malik

CYBERJAYA – Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau kini masih lagi berstatus seorang ahli Parlimen bebas.

Katanya, beliau mempunyai misi yang perlu diperjuangkan dan ia tidak lain dan tidak bukan menjurus kepada fokus pendidikan.

“Saya telah mempunyai formidable convincing and strong people to wanted to contribute to pendidikan. Jadi bagi saya kita nak fokus lebih kepada pendidikan kerana isu pendidikan ketika ini berada pada tahap yang getir.

“Jikalau kita membiarkan anak-anak ini tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya ataupun kita tidak mengambil langkah-langkah untuk menyelamatkan pendidikan kita, saya risau pada masa hadapan ia akan memberi kesan kepada perkembangan negara.

“Jadi pada saya inilah ruang yang perlu saya bagikan keutamaan ketika ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tetap akan berada bersama dalam blok pembangkang di Parlimen.

Malah, di kawasannya di Simpang Renggam, pusat khidmatnya bekerjasama rapat dengan Pakatan Harapan.

Bekas menteri pendidikan itu yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuat keputusan menarik diri daripada parti tersebut.

Beliau memberikan alasan penarikan diri itu adalah kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di negara ini khususnya di Simpang Renggam.

Maszlee turut menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak. – MalaysiaGazette