Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2020

PUTRAJAYA – Seramai 3.8 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang menyeru rakyat Malaysia menjaga cara pemakanan mengingatkan bahawa penyakit tidak berjangkit juga perlu dikawal.

“Dalam pada meraikan sambutan Hari Deepavali, jangan lupa untuk makan secara berhemah, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan juga menjalani saringan kesihatan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini hari ini.

Seperti Deepavali, Hari Diabetes Sedunia yang bertema ‘Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan’ juga akan diraikan pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, bagi menghargai peranan penting jururawat dalam aktiviti pencegahan, saringan, rawatan serta pemulihan pesakit diabetes, Dr. Noor Hisham memaklumkan bangunan-bangunan dan persekitaran di Putrajaya akan dilimpahi dengan cahaya bewarna biru bermula jam 7 malam hari ini hingga Ahad ini.

LightUpBlue@Putrajaya akan berlangsung di mana bangunan-bangunan dan persekitaran di Putrajaya akan dilimpahi dengan cahaya biru, sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada para jururawat dan lain-lain petugas barisan hadapan yang terus cekal dalam memberikan penjagaan penyakit diabetes dan penyakit-penyakit kronik yang lain terutama dalam waktu mencabar ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette