KUALA LUMPUR – Penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 13 November ini dibolehkan kerana acara industri kreatif tidak termasuk dalam senarai aktiviti yang dilarang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, penganjur acara perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) termasuklah pemantauan oleh pihak polis serta Majlis Keselamatan Negara sepanjang acara berlangsung.

Antara SOP lain yang perlu dipatuhi adalah acara mestilah dijalankan tanpa penonton, tiada peserta dari luar negara dan setiap peserta termasuk kru perlu memakai pelindung muka (face shield) sepanjang acara berlangsung.

Sebarang pelanggaran SOP akan dikenakan tindakan.

“SOP ini telah lama dirangka iaitu pada bulan Mei iaitu ketika kali pertama kita mengenakan PKPB.

“Jadi, mungkin disebabkan itu, kami di Jawatankuasa Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri atau Jawatankuasa Khas Teknikal yang dipengerusikan saya sendiri tidak menerima apa-apa maklumat mengenai perkara ini kerana penganjuran acara di bawah industri kreatif adalah dibenarkan semasa PKPB.

“Mungkin Menteri KKMM hanya memaklumkan sahaja mengenai penganjuran acara tersebut kepada MKN dan memang tidak perlu dibuat sebarang rayuan.

“Ini berbeza dengan penganjuran acara bola sepak kerana aktiviti itu berada dalam senarai tidak boleh dilaksanakan kerana pelbagai faktor keselamatan.

“Dalam hal penganjuran perlawanan bola sepak, memang kami ada terima rayuan daripada pihak-pihak tertentu tetapi tetap tidak diluluskan kerana SOP-nya melarang penganjuran acara tersebut sepanjang PKPB,” katanya semasa sidang media hari ini.

Namun begitu, beliau maklum dengan bantahan orang ramai terhadap penganjuran tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada KKMM untuk berbincang dengan MKN sekiranya terdapat sebarang perubahan.- MalaysiaGazette