Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula merupakan suatu program khas untuk mengurus PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pelan Rekalibrasi PATI ini akan dilaksanakan mula 16 November hingga 30 Jun 2021 oleh JIM dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan yang lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

“Semua PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia.

“Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI juga tidak akan melibatkan pertambahan kos operasi kepada Kerajaan atas justifikasi pelaksanaan Pelan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Agensi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menerusi pelan ini menurut Hamzah, kerajaan dijangka akan memperolehi kutipan hasil sebanyak RM95 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap PATI dan majikan.

“Dalam landskap ekonomi yang tidak menentu akibat penularan pandemik Covid-19, Kerajaan telah membuat timbang tara yang strategik terhadap Pelan ini dengan menilai kesan positif serta kesan negatif pelaksanaannya.

“Antara lain, ini termasuklah kepentingan untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat impak buruk Covid-19 terhadap ekonomi negara dengan membenarkan perusahaan dan syarikat beroperasi menurut SOP ketat dalam fasa
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri selepas tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI pada 30 Jun 2021, Jabatan Imigresen Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI iaitu operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.

“Sekiranya disabitkan bersalah, majikan yang didapati menggajikan PATI akan dikenakan hukuman yang maksimum iaitu denda sebanyak RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang
diambil. Bagi majikan yang menggajikan lebih daripada lima orang, majikan akan dikenakan hukuman sebat.

“Sehubungan itu, majikan wajar mengambil peluang pelaksanaan Pelan ini untuk mendaftarkan PATI sedia ada di Malaysia sebagai sumber tenaga kerja di semua sektor ekonomi yang terlibat,” kata Hamzah.

Beliau memberi jaminan bahawa program tenaga kerja kepada PATI yang sedia ada di Malaysia tidak menggugat pasaran serta peluang pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

“Malah peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah terjamin tertakluk kepada dasar penetapan nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing yang berkuat kuasa ketika ini.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam semua sektor ekonomi yang mana selaras dengan pendirian dan dasar Kerajaan dalam perancangan serta pengurusan tenaga kerja di Malaysia,” menurut beliau.

Dalam pada itu Hamzah memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia juga bersetuju untuk mengintegrasi dan berkongsi data bagi menguruskan hal ehwal pekerja asing, termasuklah penyeragaman pembayaran gaji melalui satu system e-wages yang sama.

Perkara ini ujarnya akan dibincangkan lebih lanjut dengan agensi-agensi yang berkaitan dalam mensyuarat Jawatankuasa Khas peringkat menteri akan datang.- MalaysiaGazette