Formulasi coklat cair berasaskan minyak sawit sebagai inti kuih bulan kontemporari.

KUALA LUMPUR – Kuih bulan adalah salah satu produk makanan yang paling banyak dinikmati di seluruh dunia, terutamanya di China, juga dinikmati sebagai makanan istimewa di negara-negara barat.

Sudah menjadi kebiasaan bagi peniaga dan keluarga untuk menghadiahkan kuih bulan kepada pelanggan, saudara-mara dan rakan-rakan mereka semasa perayaan pertengahan musim luruh.

Menurut Persatuan Industri Makanan China, negara China mencatatkan jumlah penjualan kuih bulan sebanyak 1.38 bilion bernilai RMB 19.67 bilion (anggaran RM12.25 bilion) pada tahun 2019.

Sebilangan besar kuih bulan biasanya diperbuat dengan inti dalam bentuk pes menggunakan minyak masak selain daripada minyak sawit.

Pasaran China kini mempelbagaikan kuih bulan daripada yang tradisional kepada kuih bulan kontemporari, yang mana terdiri daripada pelbagai jenis inti baru bagi menggantikan inti kacang merah.

Trend ini juga dapat memenuhi citarasa kini dan masyarakat yang lebih mementingkan kesihatan.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang diketuai oleh Niu Yueting telah merumuskan formulasi coklat cair berasaskan minyak sawit sebagai inti kuih bulan kontemporari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kuih bulan seperti itu.

Teknologi MPOB menghasilkan formulasi inti coklat dalam kuih bulan, menggunakan minyak sawit untuk mengekalkan kecairan inti coklat di dalam kuih bulan.

Formulasi ini menghasilkan tekstur halus dan inti coklat cair yang lazat dengan bahagian luar yang rangup. Di samping itu, teknologi ini dapat membantu mencegah kuih bulan daripada pecah, bocor dan berubah bentuk walaupun mempunyai inti yang cair dan lembut.

Menurut Niu, pasukan penyelidik itu melakukan kajian untuk mendapatkan formulasi yang sesuai bagi menghasilkan inti coklat cair berasaskan sawit untuk kuih bulan di Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM) di Shanghai, China. Penyelidikan ini, dengan kerjasama Universiti Xihua dan Zhengzhou Milikang Food Co., Ltd. selesai dalam tempoh 18 bulan dari Januari
2018 hingga Jun 2019.

Antara bahan yang digunakan untuk inti coklat cair berasaskan sawit adalah minyak sawit, serbuk koko, pengemulsi, tepung susu.

“Analisa dari segi rasa dan tekstur’juga dilakukan untuk mendapatkan kuih bulan yang berkualiti. Dengan
menggunakan formulasi ini, bahagian luar kuih bulan juga dapat dikekalkan supaya sentiasa rangup dan tidak melembut. Tanpa teknologi ini, minyak daripada inti kuih bulan akan menyerap ke bahagian kulit kuih bulan lalu menjadikan kuih bulan itu lembik,” jelas Niu.

Niu berkata, inovasi MPOB ini dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dari China bagi kegunaan penyediaan produk tersebut. Inovasi ini telah dikomersialkan oleh dua syarikat di China.

“Inovasi MPOB ini berpotensi besar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembuatan kuih bulan kontemporari.

Tambahnya, kecairan inti coklat kuih bulan dengan bahagian luarnya yang rangup memberi pengalaman baru dalam menikmati produk yang popular itu.

Selain itu, inti coklat cair ini juga boleh digunakan dalam pembuatan pelbagai produk termasuk
biskut dan roti. – MalaysiaGazette