Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2020 dianggarkan 32.69 juta orang, meningkat 0.4 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (32.56 juta).

Jumlah penduduk ini merangkumi 29.78 juta orang (91.1%) warganegara dan 2.92 juta orang (8.9%) bukan
warganegara.

Pada suku tahun ketiga 2020, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.82 juta dan 15.88 juta.

Nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga 2020 ialah Selangor (20.0%) diikuti oleh Sabah (12.0%) dan Johor (11.6%).

Sebaliknya, Labuan mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 peratus.

Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada suku tahun ketiga 2020 menurun daripada 7.64 juta pada suku tahun ketiga 2019 kepada 7.59 juta.

Penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.70 juta (suku tahun ketiga 2019) kepada 22.79 juta pada suku tahun ketiga tahun ini.

Manakala, penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.22 juta kepada 2.32 juta bagi tempoh yang sama.

Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk, katanya.

“Sebanyak 116,434 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun ketiga 2020, menurun sebanyak 5.9 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (123,751 kelahiran). Pada suku tahun ketiga 2020, kelahiran bayi
lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 60,090 berbanding perempuan (56,344 kelahiran).

”Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,185 kelahiran (19.1%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan (418 kelahiran: 0.4%),” katanya.

Sebanyak 43,178 kematian telah direkodkan bagi suku tahun ketiga 2020, meningkat 1.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2019 (42,757 kematian).

Sejumlah 24,909 kematian adalah lelaki sementara 18,269 kematian adalah perempuan.

Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,816 kematian
(15.8%) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 57 kematian sahaja (0.1%). – MalaysiaGazette