Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes positif Covid-19 bagi kluster berkaitan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 158 kluster aktif, sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus adalah berkaitan dengan tempat kerja.

Hari ini, terdapat dua lagi kluster baharu yang telah dikenal pasti, ujarnya.

Tambah beliau lagi, hampir 60 peratus daripada 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah melibatkan warganegara Malaysia manakala baki 2,312 adalah bukan warganegara.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

“KKM amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes-kes positif dalam kalangan warga kerja.

“Tindakan ini dapat mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan empat kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini melibatkan dua kluster di Sandakan, Sabah; satu di Kuching, Sarawak dan satu di Jasin, Melaka.

Kluster Bonggaya di Sandakan melibatkan kes indeks yang dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan komuniti pada 27 Oktober lalu.

Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 45 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes ini telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

Sehingga 13 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 243 individu telah disaring yang mana 46 kes positif (33 kes baharu), 123 disahkan negatif manakala 74 lagi masih menunggu keputusan.

Kluster Jambatan B turut berlaku di Sandakan yang mana kes indeks kluster berkenaan telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober lalu.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Saringan kontak rapat dan komuniti setempat telah mengesan sebanyak 52 lagi kes positif Covid-19.

Sehingga 13 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 201 individu telah disaring yang mana 53 kes dikesan positif Covid-19 (18 kes baharu); 118 individu dikesan negatif; dan 30 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Abell pula melibatkan daerah Kuching, Sarawak yang mana kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif hasil saringan kendiri pada 10 November lalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Sehingga 13 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 70 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif COVID-19 (10 kes baharu); 13 individu dikesan negatif; dan 43 individu masih menunggu keputusan.

Satu-satunya kluster baharu yang dikenal pasti di semenanjung pada hari ini adalah Kluster BMU yang melibatkan daerah Jasin, Melaka.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-45077) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif Covid-19.

Sehingga 13 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 (10 kes baharu); dan 59 individu masih menunggu keputusan.

Dr. Noor Hisham juga mengumumkan tiga kluster yang telah tamat pada hari ini iaitu Kluster Selasih, Kluster Bah Pengkalan dan Kluster Bah Pasir.- MalaysiaGazette