Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media mengenai kejayaan membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis Methamphetamine yang dibungkus dalam teh cina yang dianggarkan bernilai RM4.8 juta dan merampas kereta jenis Ford Mustang ketika di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor. foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2020.

SHAH ALAM – Polis Selangor percaya beberapa penduduk Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi tidak melarikan diri apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit.

Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed tidak menolak kemungkinan penduduk hanya tidak pulang ke kediaman masing-masing kerana ada yang bekerja secara syif.

“Majoriti penduduk di kawasan itu bekerja syif, mereka tidak dapat pulang ke rumah apabila kawasan tersebut dilaksanakan PKPD,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal membuat saringan Covid-19.

Menurutnya, bilangan mereka yang didapati tidak pulang ke kediaman di situ diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu pada jam 6 petang Selasa lalu.

Dalam pada itu, Arjunaidi juga mendedahkan seramai 13 penghuni Medan 88 yang lesap dari kawasan PKPD itu berjaya dikesan, pagi tadi.

 

Suasana di sekitar kawasan perumahan Medan 88 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

“Pagi tadi saya dimaklumkan ada 13 penghuni balik dan datang untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Mereka ini sebenarnya bukan melarikan diri, dia tengok sudah lockdown, jadi dia tak balik,” katanya.

Arjunaidi juga berharap penduduk di kawasan itu yang belum menampilkan diri segera pulang dan datang kepada Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Siapa nak beri saringan percuma untuk kebaikan mereka, kalau majikan tahu, pasti mereka akan bawa balik jalani saringan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette