KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM9.5 bagi Bantuan Zakat Kecemasan dalam membantu golongan yang terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menerusi kenyataan MAIWP memaklumkan, bantuan akan memfokuskan kepada pengawal keselamatan, peniaga kecil, mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan lain-lain yang terkesan akibat wabak itu.

“Dua syarat utama permohonan ini adalah pemohon yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta pemohon bukan penerima Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal MAIWP.

“Mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan akan disalurkan sebelum 31 Disember ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MAWIP memaklumkan orang ramai boleh membuat permohonan bantuan yang dibuka secara dalam talian menerusi pautan ebaitulmal.maiwp.gov.my/ez-zakat mulai 16 hingga 27 November.

Tambahnya, Bantuan Zakat Kecemasan bukan kali pertama diluluskan, malah telah mula dibuka semasa PKP pertama pada Mac lalu, dengan RM10 juta telah diperuntukkan serta membantu seramai 23,340 orang.

Dalam kenyataan berasingan, MAIWP turut bersetuju untuk membuat penyambungan secara automatik kepada penerima Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Sewa Rumah.

Ujarnya, inisiatif itu merupakan bukti usaha proaktif MAIWP yang amat prihatin kepada golongan asnaf yang pastinya terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Penyambungan ini akan memberi manfaat kepada 5,629 penerima bantuan yang akan tamat pada Disember 2020 dan Januari 2021 melibatkan jumlah perbelanjaan zakat sebanyak RM1.92 juta.

“Penerimanya merangkumi asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette