Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan dilantik memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bank berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kemyataan, Bank Rakyat memaklumkan, pelantikan beliau dibuat bagi menggantikan sementara kekosongan selepas Datuk Rosman Mohamed yang memegang jawatan itu bakal menamatkan perkhidmatannya pada 31 Januari Tahun depan.

Menurut kenyataan itu, Rosman akan bercuti bermula hari ini sehingga perkhidmatannya tamat kelak.

“Beliau juga akan melepaskan semua jawatan lain yang disandang termasuk Ahli Lembaga Pengarah Rakyat Management Services Sdn Bhd, Rakyat Holdings Sdn Bhd dan Yayasan Bank Rakyat berkuat kuasa 14 November 2020,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, hasrat Rosman itu juga telah dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah Bank berkenaan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pada masa yang sama katanya, pelan penggantian telah dirangka untuk pengisian jawatan berkenaan yang akan diumumkan kelak.

Rosman memulakan khidmatnya di Bank Rakyat seagai Ahli Lembaga Pengarah pada 1 April 2019.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pemangku Pengarah Urusan sejak 1 Ogos 2019 dan seterusnya menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 Februari 2020. – MalaysiaGazette