Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan permohonan pelarasan gred kepada Pegawai Perubatan kontrak daripada Gred UD41 kepada Gred UD43 berasaskan kepada kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap dan peraturan yang berkuatkuasa.

Keputusan itu dibuat pada 13 November lalu turut dilanjutkan kepada Pegawai Pergigian kontrak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan tersebut bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan dan membolehkan pegawai berkenaan menerima emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

Kelulusan ini bersesuaian dengan pendekatan “Malaysia Prihatin” yang diamalkan oleh kerajaan pada masa ini dan selaras dengan prinsip upah mengikut kerja (rate for the job).

Ini kerana, Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian lantikan kontrak turut memikul beban tugas yang setara dengan pegawai lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke Gred 44 selepas memenuhi syarat kenaikan pangkat dan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun.

Pelarasan gred ini juga selaras dengan perbekalan skim perkhidmatan yang membenarkan Pegawai Perubatan dilantik secara kontrak atas Gred UD43, yang mana gred tersebut adalah setara dengan gred kenaikan pangkat UD44. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast