Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melihat semula dasar import beras agar dapat meningkatkan pengeluaran padi dalam negara sehingga 75 peratus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu merupakan salah salah inisiatif mengurangkan kebergantungan  terhadap berasi dari negara luar.

Perkara yang sama dibincangkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara baru-baru ini.

“Sejak sekian lama untuk kerajaan selesa dengan 70 peratus pengeluaran beras tempatan, dan 30 peratus beras import. Ia merupakan polisi yang sentiasa digunakan tetapi kerana Covid-19 dan penutupan sempadan jadi ada halangan untuk beras dari luar masuk.

“Ini mengajar kita melihat semula dasar ini. Kalau sekarang dasar besar dalam negara adalah 70:30 iaitu hanya 30 peratus diimport. Jadi ini perlu dilihat semula dan kita sasarkan supaya mampu sekurang-kurangnya 75 peratus. Ini akan kurangkan kebergantungan kepada import,” katanya ketika sidang media khas mengenai Belanjawan 2021 hari ini.

Peningkatan beras negara jelas Ronald boleh dilaksanakan menerusi penanaman padi di kawasan jelapang dan pembukaan kawasan di luar jelapang.

Terdahulu beliau berkata, MAFI menerima RM4.79 bilion daripada Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini.

RM3.28 bilion daripadanya untuk Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.51 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Antara peruntukan yang diterima di bawah sektor Memodenisasi Sektor Pertanian RM100 juta diperuntukkan untuk projek pertanian dan penternakan berimpak tinggi, RM150 juta untuk program pemodenan vessel dan mekanisasi tangkapan serta RM10 juta untuk program pengembangan akuakultur.

Tambah beliau, sebanyak RM1.72 bilion akan digunakan untuk pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk nelayan termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan yang dinaikkan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi pemberian subsidi daripada kerajaan, MAFI optimis bahawa sasaran untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan akan berjaya.

“Kita menjangkakan bahawa pengeluaran padi untuk tahun depan meningkat sesuai dengan sasaran untuk mengeluarkan beras sebanyak lebih 70 peratus keperluan dianggarkan tahun mendatang ini,” katanya lagi.

Selain itu ujarnya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Ruminan Negara bagi menumpukan usaha meningkatkan hasil ternakan.

“Kita harap penubuhan Lembaga Ruminan Negara ini akan merancakkan pengeluaran ternakan ruminan di negara kita dan mengurangkan import,” katanya lagi.- MalaysiaGazette