Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR – Rancangan FGV Holdings Berhad (FGV) untuk terus memperkukuhkan aktiviti perniagaan tambah nilai tinggi yang memfokuskan kepada pertanian bersepadu dan sektor barang pengguna laris (FMCG) berada di landasan tepat dan berpotensi dipercepatkan untuk memberi jangkaan pulangan yang lebih cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, perniagaan tenusu telah menunjukkan potensi pertumbuhan positif dengan pengeluaran susu segar melalui ladang di Linggi.

Menurutnya, kilang susu segar baharu dengan kapasiti 30,000 liter sehari dijadualkan siap pada separuh pertama 2021.

Ladang ini sedang menjalani kerja-kerja penambahbaikan yang dijangka siap pada pertengahan Disember 2020, sebelum ketibaan kumpulan baharu 132 lembu dari Australia.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pengumuman prestasi kewangan suku ketiga FGV di sini.

Haris menambah, FGV yang diberi lesen pemborongan beras daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada bulan Jun 2020 telah memulakan penanaman kebun benih padi wangi MRQ76 seluas 28 hektar di Sungai Leman, Selangor dan Seberang Perak, Perak.

Benih MRQ76 yang dijadualkan untuk dituai pada Januari 2021, akan digunakan untuk memulakan 500 hektar skim pertanian kontrak FGV.

Untuk mengukuhkan perniagaan makanan haiwan, semua produk makanan haiwan FGV akan dipasarkan di bawah jenama ALMA dan disasarkan untuk dilancarkan pada bulan Disember ini.

Tiga produk makanan haiwan terus dihasilkan oleh FGV (PKE8100, PKP8200 dan PKP8201) dengan jumlah penjualan sebanyak 27,448 tan dicapai pada September 2020, dengan kenaikan sebanyak 90% berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Dua formulasi baru untuk makanan haiwan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. – MalaysiaGazette