Hasbullah Osman

KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarham Datuk Hasbullah Osman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik pada jam 11.45 pagi tadi.

Ahli Parlimen Gerik itu meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Raub kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada.

Allahyarham meninggalkan dua balu iaitu Datin Rosmawati Ariffin, 58, dan Zaini Abu Bakar, 29, serta lapan anak berumur antara dua bulan dan 34 tahun.

Memulakan karier politik pada 1986, Kementerian Pelajaran pada ketika itu telah meminjamkan Allahyarham untuk berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada empat timbalan menteri hingga beliau bersara pada 1999.

Beliau juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2009.

Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Gerik selama dua penggal semenjak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hingga sekarang.-MalaysiaGazette