Gambar hiasan

NELSON Mandela Bekas Presiden Afrika Selatan pernah menyatakan bahawa “runtuhnya pendidikan boleh meruntuhkan negara”. Beliau turut menegaskan bahawa “pendidikan adalah senjata paling berkuasa untuk merubah dunia”. Pernyataan ini memang tidak boleh disangkal. Malah kepentingan pendidikan lebih jauh daripada itu.

Bagi hemat penulis, pendidikan adalah unsur kedua terpenting selepas kita bernafas.Hanya pendidikan dan ilmu yang dimiliki, akan meletakkan manusia sejajar dengan statusnya sebagai ciptaan terbaik. Martabat insan hanya boleh dicapai dengan ilmu yang dimiliki. Tanpa pendidikan dan ilmu yang benar dan sempurna, manusia boleh hilang nilai kemanusiaannya.

Kita boleh melihat daripada perspektif yang lebih khusus iaitu pendidikan tinggi. Sessungguhnya, pendidikan tinggi merupakan agenda utama negara. Sejarah membuktikan pelaburan besar dalam pendidikan tinggi membolehkan negara ini dapat dibangunkan dengan pesat. Pendidikan tinggi memfokuskan kepada pelbagai bidang khusus termasuklah pendidikan sains, teknikal dan kejuruteraan, pertanian dan pengurusan perniagaan.

Di samping itu, bidang-bidang utama yang lain seperti pendidikan, sains sosial, ekonomi dan kemanusiaan turut dimulakan pada era sebelum merdeka dan diteruskan selepas merdeka. Kesemua ini merupakan suatu langkah tepat yang dijalankan oleh kerajaan. Tenaga profesional yang dihasilkan telah berjaya digembleng untuk membangunkan negara. Malah, kita dapat melihat hasilnya dengan mata kita sendiri.

Dalam konteks ini, agenda pendidikan tinggi wajib terus diperkasakan. Keperluannya seiring dengan dasar pembangunan negara. Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran global, sama ada fizikal mahupun pembangunan minda insan. Aspek pendidikan manusiawi dan penerapan nilai-nilai murni menjadi sangat kritikal dengan cabaran teknologi digital yang boleh memberi ancaman kepada keluhuran nilai insaniah. Hakikatnya, pendidikan tinggi telah memacu pelbagai kemajuan.

Justeru pelaburan perlu terus diberikan kepada sektor pendidikan tinggi. Cabaran besar perlu diuruskan dengan bijaksana bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia. Sejak sekian lama, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melaksanakan hala tuju pendidikan tinggi negara secara terancang dan sistematik. Dokumen strategik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 sentiasa menjadi rujukan utama.

Pada hemat penulis, terdapat beberapa cabaran perlu diuruskan dengan baik dan bijaksana, supaya dapat memperkasa agenda pendidikan tinggi negara. Kita perlu memberi fokus kepada kelestarian kewangan universiti. Pada masa yang sama, kita perlu memikirkan bagaimana setiap warga universiti boleh melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan.

Suatu hakikat yang perlu diterima bahawa sebahagian besar negara membangun tidak mampu menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai pengurusan pendidikan tinggi. Negara kita sendiri masih memberikan subsidi sehingga 90 peratus yuran pengajian di Universiti Awam. Namun sejak tahun 2016, peruntukan kepada universiti awam khususnya Universiti Penyelidikan telah dikurangkan dengan agak ketara.

Kesemua ini telah memberi tekanan kepada Universiti Awam dalam menyediakan pendidikan tinggi dengan sebaiknya. Terdapat persepsi negatif mengatakan bahawa Universiti Awam tidak bijak mengurus belanjawan dengan baik dan berlaku pembaziran. Kita tidak dapat menafikan ia pernah berlaku. Namun begitu, maklumat yang mungkin tidak ramai yang mengetahui adalah betapa Universiti Awam telah mengambil banyak inisiatif bagi mengekalkan kualiti penyampaian universiti, walaupun mereka menghadapi kekangan kewangan. Kita boleh memberi beberapa contoh inisiatif yang telah dijalankan UTM demi menjayakan kelangsungan sebuah universiti. Sebagai warganegara Malaysia, kita boleh menyokong usaha-usaha ini demi memperkasa kelestarian kewangan universiti di negara tercinta ini. Antaranya ialah:

1. Tabung Endowmen dan Waqaf UTM. Usaha ini telah dimulakan sejak tahun 2009 dengan menubuhkan Tabung Endowmen Merdeka. Kini beberapa tabung lain berjaya diwujudkan seperti Tabu ng Endowmen Alumni, dan nama-nama industri dan individu yang memberi sumbangan. Selain itu, warga UTM juga turut
menyumbang melalui potongan gaji bulanan mengikut  kemampuan dan keikhlasan masing-masing. Ini sangat menyentuh hati kerana ada staf yang menyumbang satu ringgit sebulan. Hampir 15 peratus warga UTM menyumbang melalui potong gaji ini. Tabung endowmen ini digunakan bagi membiayai pengajian ramai pelajar daripada golongan kurang mampu, terutama keluarga B40.

2. Bayaran zakat melalui UTM. UTM telah diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa agama untuk menerima zakat dan boleh dibuat potongan gaji bulanan. Sebanyak 31 peratus zakat boleh digunakan terus oleh UTM bagi membantu golongan asnaf di UTM. Warga UTM juga digalakkan menggunakan sebahagian bayaran hasil untuk membayar zakat. Kesemua inisiatif ini sangat membantu asnaf di UTM.

3. Program Makanan Percuma. Atas inisiatif DYMM Tuanku Canselor sendiri, diwujudkan tabung makanan percuma ‘Because We Care Chancellor Fund’ di UTM. Sumbangan ini diterima daripada pihak alumni, industri, staf UTM dan orang perseorangan. Sesuatu yang masyarakat perlu tahu ialah program memberi makanan percuma ini telah menjadi satu norma baharu di Universiti Awam. Ramai warga UTM sendiri secara individu atau usaha melalui jabatan turut memeriahkan program makanan percuma ini. Malah ada staf yang membuat
program gotong-royong memasak setiap minggu untuk diberikan kepada pelajar. Ada yang menyumbang melalui program ‘suspended meal’ dengan membayar kepada kafeteria untuk menyediakan makanan percuma kepada pelajar.

4. Penjanaan pendapatan melalui pencairan aset hartanah. Ada beberapa inisiatif yang berjaya dilakukan oleh UTM. Projek Residensi di UTM Kuala Lumpur berjaya dibangunkan dan kini beroperasi sepenuhnya. Projek ini berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelajar. Kemudahan tersebut juga terbuka kepada masyarakat luar. Projek ini dilaksanakan sepenuhnya melalui pasukan teknikal UTM dengan pembiayaan secara pinjaman, tanpa peruntukan kerajaan. Namun bagi mana-mana projek seumpama ini, risiko perniagaan tetap ada dan perlu diuruskan dengan sebaiknya. Satu lagi usaha ialah dengan memajakkan kompleks penginapan di UTM Johor Bahru kepada pihak luar. Usaha ini berjaya memberi pulangan bersih kepada UTM, dan menjimatkan UTM dari perbelanjaan naik taraf dan penyenggaraan. Kompleks ini amat sesuai untuk pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan yang berkemampuan.

5. Menjual nombor plat kenderaan berjenama UTM. Universiti Awam telah diberi kebenaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menjual nombor plat mengikut ringkasan nama universiti. Sehingga kini, usaha ini memberi pulangan kewangan yang memuaskan. Nombor plat boleh digunakan oleh semua warganegara Malaysia. Kepada warga UTM dan alumni, nombor ini boleh menjadi kenangan berharga untuk diabadikan sambil menyumbang kepada Tabung Endowmen UTM.

6. Model Baharu Operasi Universiti. Usaha ini memerlukan perubahan set minda warga UTM seluruhnya. Antara usaha yang dilaksanakan ialah usaha penjimatan dan semua urusan di UTM dikira kosnya. Sebagai contoh perkhidmatan kenderaan universiti. Setiap kos perjalanan akan dibayar oleh jabatan. Sebelum ini, jabatan tidak mengetahui kos dan pembaziran yang berlaku. Begitu juga sewaan ruang dan lain-lain kemudahan. Begitu juga dalam penawaran perkhidmatan kepada pihak luar temasuk program akademik (bukan program perdana), semua kos dan keuntungan akan diambilkira. Antara cabaran ketika berlaku kekangan kewangan ialah penggantian dan penyenggaran peralatan penyelidikan. UTM mengambil pendekatan melabur bagi memastikan peralatan sentiasa dalam keadaan baik. Makmal berkaitan diminta menyediakan pelan perniagaan, penggunaan peralatan untuk kerja-kerja perundingan dan jangkaan hasil. Pelan bayaran balik kepada Bendahari perlu meyakinkan sebelum pelaburan dibuat. Pelaburan bagi membaiki asrama dan kemudahan lain juga dibuat. Perubahan pemikiran dari menerima peruntukan kepada ‘pelaburan’ oleh universiti menampakkan kesan yang positif.

7. Pengorbanan warga UTM. Sukar untuk berkongsi sepenuhnya inisiatif ini. Mungkin ini adalah faktor terbesar yang menyumbang sehingga tidak kelihatan kesan yang terlalu ketara akibat kekangan peruntukan. Penjimatan kos berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya staf tidak membuat tuntutan lebih masa, dan perjalanan menggunakan kos paling murah (perjalanan dan penginapan).

Terdapat staf akademik membiayai pelajar dengan mengunakan duit sendiri. Secara keseluruhan, warga UTM sanggup menerima ketidakselesaan demi menjamin kualiti pendidikan tinggi yang disediakan tidak terjejas. Terdapat beberapa lagi inisiatif yang dijalankan untuk menjana kewangan universiti.

Antaranya termasuklah penawaran program pembelajaran sepanjang hayat, pengajian jarak jauh, program francais tempatan dan luar negara, khidmat perundingan, penyelidikan kontrak dan penjualan produk penyelidikan. Aktiviti seumpama ini dibuat melalui anak-anak syarikat.

Dalam pada itu, warga UTM sanggup ‘mengikat perut’ dan sangat jimat berbelanja. Mereka tidak diberikan kemudahan perjalanan sebagaimana selayaknya. Ada warga universit yang memberi sumbangan tetap bulanan bagi mengisi Tabung Endowmen dan Waqaf. Malah, terdapat bayaran khas staf disumbangkan semula kepada universiti.

Secara keseluruhannya, warga UTM sentiasa memahami bahawa apa sahaja pendapatan yang dijana, penjimatan dan sebagainya bukanlah bertujuan untuk meraih keuntungan. Pengurusan kelestarian kewangan amat diperlukan bagi memastikan UTM menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti secara berterusan,
tanpa mengharap semua peruntukan dari kerajaan. Masyarakat, industri dan alumni pula boleh memainkan peranan dengan merebut pelbagai peluang bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan demi menjayakan kelangsungan sebuah universiti, bertunjangkan kepentingan rakyat.

Wahid Omar
[email protected]
Sekolah Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan
Universiti Teknologi Malaysia