Monday, May 6, 2024
Home Nasional KPWKM rangka program khusus tingkat kesedaran

KPWKM rangka program khusus tingkat kesedaran

Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff
KUALA LUMPUR – Satu program khusus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya melibatkan keganasan rumah tangga, dan keganasan seksual sedang dirangka Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, antara program yang dilaksana termasuk memperkemas sistem sokongan dan sistem perlindungan bagi tindakan yang lebih komprehensif.
“Di bawah kementerian ada Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga, yang mana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan agensi, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan juga badan-badan bukan kerajaan, untuk membincangkan pelbagai maklumat berkaitan isu kepentingan wanita.
“Kita juga mengadakan kerjasama dengan kaunselor bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan program kerjasama NGO untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, membantu masyarakat menghindari isu terutamanya penderaan, keganasan rumah tangga, dan juga gangguan seksual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) yang ingin mengetahui secara khusus langkah kerajaan untuk menangani isu gangguan seksual.
Sebelum itu, Kasthuriraani juga ingin mengetahui bilangan panggilan telefon kepada Talian Kasih 15999 dari bulan Januari 2020 sehingga kini mengikut jenis panggilan.
Menjawab soalan itu, Siti Zailah berkata, sehingga November 2020, sebanyak 97,576 panggilan diterima melalui talian 15999, dan 62,127 pesanan diterima melalui aplikasi whatsapp.
“Bagi tahun 2020, dari bulan Januari sehingga 14 November 2020, Talian Kasih telah menerima 159,703 panggilan.
“Menerusi jumlah ini, 97,576 panggilan telah diterima menerusi Talian Kasih 15999 manakala bermula Februari sehingga 14 November 2020, sebanyak 62,127 pesanan telah diterima melalui aplikasi WhatsApp Talian Kasih.
“Segala pertanyaan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian akan dijawab di peringkat Talian Kasih manakala segala butiran aduan dan permohonan akan disalurkan ke Jabatan dan Agensi di bawah kementerian untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette