Sehingga kini, seramai 16 individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes penipuan sejak 10 November lalu.

KUALA LUMPUR – Dua individu yang merupakan bekas ketua pegawai pemasaran syarikat telekomunikasi dan pengarah syarikat swasta direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan SMS

Perintah reman sehingga 21 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd. Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi ini.

Sehingga kini, seramai 16 individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan sejak 10 November lalu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 49 dan 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Jelasnya, mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Tambah sumber, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider’ dengan mengenakan bayaran langganan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.

Kata sumber lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette