Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Gerik tidak perlu diadakan kerana Malaysia masih berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19.

Cadangan itu juga sebagai pengiktirafan khidmat Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

”Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.

”Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, Guan Eng turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

Hasbullah yang menjadi Ahli Parlimen Gerik sejak Mei 2013, meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

Menurut Guan Eng, keselamatan awam harus didahulukan dan menjadi keutamaan berbanding politik dan pilihan raya.

Lagipun, ujarnya, orang ramai tidak dapat melupakan lonjakan jangkitan Covid-19 setelah Sabah terpaksa mengadakan pilihan raya umum kerana politik wang yang tidak bertanggungjawab dan cubaan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri untuk merampas hak rakyat untuk memilih kerajaan negeri mereka sendiri.

”Seharusnya kita perlu berhenti bermain politik pilihan raya sehingga bahaya dan risiko yang ditimbulkan oleh Covid-19 berakhir,” tambahnya. – MalaysiaGazette