KUALA LUMPUR – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memastikan ekonominya berada di hadapan cabaran untuk terus relevan.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC Dr Denis Hew berkata, ini dapat dilakukan dengan menangani cabaran yang wujud yang dijangka dihadapi oleh rantau ini dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Bukan hanya melihat kepada pandemik COVID-19, tetapi turut memberi tumpuan kepada isu-isu seperti wujudnya pelbagai jenis teknologi digital, kecerdasan buatan.

“Kita juga mempunyai cabaran demografi dengan banyak ekonomi menghadapi penduduk yang semakin berusia, yang bermakna pengurangan tenaga buruh dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Banyak ekonomi APEC adalah ekonomi berpendapatan sederhana,” katanya pada taklimat secara maya mengenai Analisis Trend Serantau APEC hari ini.

Menurut analisis itu yang diterbitkan baru-baru ini, peralihan kepada pendigitalan tidak dapat dielakkan dan ekonomi perlu memperuntukkan dana yang diperlukan untuk membina infrastruktur teknologi yang lebih dipercayai.

Ekonomi APEC juga perlu melatih semula atau meningkatkan kemahiran penduduk mereka dengan kemahiran digital untuk menyertai ekonomi dan menyemarakkan semula inovasi ke arah produktiviti yang lebih tinggi dan pengeluaran ekonomi yang lebih baik, menurut laporan itu.

Sementara itu, Hew berkata, terdapat kebimbangan mengenai perangkap pendapatan sederhana dalam kalangan ekonomi APEC dan ini dapat ditangani dengan menggalakkan inovasi dan melihat kepada kemahiran pekerja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata, terdapat petunjuk awal kepada pemulihan ekonomi dalam ekonomi APEC, terutamanya mereka yang melaksanakan ekonomi digital.

“Dalam tempoh ini, ramai daripada kita menggunakan pelbagai jenis platform digital untuk kerja, pendidikan dan membeli-belah barangan runcit secara dalam talian. Antara sektor ini iaitu aplikasi pelbagai jenis teknologi digital akan menyaksikan pemulihan yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria berkata, terdapat keazaman politik yang tinggi dalam kalangan pemimpin untuk bekerjasama bagi memastikan pemulihan ekonomi dalam kalangan ekonomi APEC.

Dengan mesyuarat menteri-menteri secara maya, katanya isyarat yang jelas telah diberikan atau kesediaan untuk berkongsi amalan terbaik tentang cara setiap ekonomi menangani pandemik dan bagaimana kerjasama berbanding bersaing “akan membantu kita atau mengeluarkan kita daripada tempoh sukar ini.”

Mengenai sektor pelancongan yang terjejas, Rebecca berkata terdapat beberapa inisiatif dibincangkan oleh kumpulan kerja Pelancongan APEC untuk memulihkan industri itu, termasuk melalui membina kapasiti.

“Kami menjangkanya (sektor pelancongan) akan menjadi sektor yang terakhir untuk pulih. Bagaimana kita membina kapasiti dalam tempoh ini apabila tiada pelancong masuk dan apa yang perlu kita lakukan sebagai persiapan apabila kembalinya (aktiviti) pelancongan,” katanya.

Rebecca berkata kumpulan kerja Pelancongan APEC sedang berusaha, antara lainnya, menyokong kemudahan, membina kerjasama dengan organisasi seperti AirBNB untuk bekerjasama dengan komuniti luar bandar yang lebih kecil bagi menaik taraf kemudahan mereka dan mempersiapkan pekerja pelancongan untuk memberikan perkhidmatan kepada pelancong.

“Kerja-kerja juga sedang dilakukan mengenai gelembung perjalanan (dan) jenis protokol kesihatan yang perlu disediakan.

“Singapura di barisan hadapan dalam (usaha) ini, bekerjasama dengan pelbagai ekonomi APEC untuk melihat bagaimana kita dapat mempunyai protokol kesihatan yang khusus bagi memudahcara perjalanan perniagaan dan kemudian melihat apa yang dapat dipelajari daripada gelembung ini supaya kita dapat menambah baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette