Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal dengan saranannya sebelum ini agar sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan bagi mencegah penularan Covid-19 dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana kementerian bimbang dengan peningkatan kes baharu akan berlaku sekiranya pilihan raya diadakan.

“Dari awal lagi amat bimbang kalau ada PRK, PRN atau PRU. Syor KKM dari dulu elakkan pilihan raya. Itu pendapat KKM.

“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kita lihat terdapat banyak peningkatan kes dan isu-isu yang timbul.

“Kalau boleh amat penting untuk kita cegah pilihan raya supaya dapat mencegah penularan Covid-19 dalam negara,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di  di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Langkah tersebut bagi mengelakkan pilihan raya kecil diadakan sebagai langkah proaktif membendung wabak itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember sebagai tarikh hari mengundi selepas Ahli Parlimennya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada awal Oktober lalu. – MalaysiaGazette