KUALA LUMPUR – Petronas Chemical Group Berhad (PCG) merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 30 September lalu.

Prestasi itu melonjak daripada paras terendah pada suku kedua 2020 dipacu oleh pemulihan harga produk petrokimia disebabkan kenaikan dalam industri pembuatan global.

Selain itu, pemulihan harga minyak mentah telah mengurangkan tekanan pada margin keuntungan.

PCG berjaya mengekalkan operasi kukuh apabila menyaksikan peningkatan jumlah pengeluaran dan kadar penggunaan loji yang tinggi sebanyak 95%.

Pendapatan kekal stabil pada RM10.5 biilion walaupun merekodkan penurunan sebanyak 13% dari tahun ke tahun disebabkan oleh harga produk lebih rendah.

Harga lebih rendah ini didorong oleh harga minyak mentah yang rendah dan permintaan petrokimia yang rendah serta tahap penawaran yang tinggi.

Margin perolehan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 23% kepada RM2.4 bilion kerana mampatan margin produk didorong harga rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah berkata, walaupun peningkatan pasaran memberangsangkan pada suku ketiga tetapi syarikat itu kekal berhati-hati.

Meskipun begitu, PCG optimis pasaran akan menampakkan pemulihan secara beransur-ansur pada tahun depan.

“Walaupun harga petrokimia dijangka meningkat selaras dengan momentum pemulihan, pengenalan semula langkah-langkah membendung Covid-19 mungkin memberi kesan pemulihan pasaran.

“Untuk mengurangkan cabaran mendatang dan memastikan ketahanan, PCG akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kecemerlangan komersial dan mengekalkan disiplin kewangan yang ketat,” katanya.

Sazali turut memaklumkan projek di Kompleks Bersepadu Pengerang dijadualkan bermula pada suku pertama tahun depan.

PIC akan meningkatkan kapasiti pengeluaran petrokimia sekitar 15% kepada 14.6 juta metrik tan setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast