Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Seramai 32,962 pengundi yang berdaftar dalam Bahagian Parlimen Batu Sapi Sabah boleh melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir.

Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sambil menjelaskan hak demokrasi setiap pengundi tidak akan diabaikan seperti mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan.

“Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” katanya dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung di Facebook dan juga saluran televisyen RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani, petang tadi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini di mana ada keperluan itu untuk membatalkan tarikh PRK Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember ini.

Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi P.185 Batu Sapi, Sabah.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen ini, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Dalam pada itu, kerajaan juga menjunjung kasih Ke bawah Duli YDPA yang telah memperkenankan nasihat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

“Titah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata yang saya percaya sentiasa dekat di hati Tuanku.

“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan langkah yang diambil oleh Kerajaan ini adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak Covid-19 dan melindungi nyawa rakyat.

“Langkah ini juga adalah bertepatan dengan hasrat sebahagian besar rakyat yang tidak mahu pilihan raya diadakan semasa pandemik Covid-19 sedang melanda negara,” katanya. – MalaysiaGazette