Arkib

KUALA LUMPUR- Jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia meningkat sedikit sebanyak satu peratus kepada 173,746 pada 2019 berbanding 172,031 pada 2018.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, kadar kematian kasar kekal pada 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk bagi tempoh yang sama.

Daerah Kanowit di Sarawak mencatatkan kadar kematian kasar tertinggi pada 2019 dengan 8.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.

Manakala daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan kadar kematian terendah sebanyak 0.9 kematian.

“Perubahan struktur umur penduduk merupakan antara penyumbang kepada peningkatan bilangan dan kadar kematian di Malaysia.

“Selari dengan peningkatan dalam jumlah penduduk tua di Malaysia (65 tahun ke atas) iaitu daripada 1.4 juta orang pada 2010 kepada 2.3 juta orang pada 2020, kadar kematian juga menunjukkan sedikit peningkatan tetapi dengan kadar perlahan setiap tahun mulai 2011 sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan media mengenai aporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 hari ini.

Laporan itu adalah mengenai statistik kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi 2019.

Katanya, statistik tersebut merupakan input utama untuk penggubalan dasar dan perancangan program bagi bidang kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.- MalaysiaGazette