Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menemui mayat seorang lelaki tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di Jalan Bangsar hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, mangsa ditemui orang awam dengan kecederaan di badan dan tidak sedar diri di atas jalan yang menuju ke Pantai Dalam.

“Polis menerima panggilan awal hari ini sekitar jam 5.38 pagi dari seorang lelaki awam memaklumkan ada menemui seorang lelaki terbaring di atas jalan utama dalam keadaan cedera dan tidak sedar diri.

“Polis bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mangsa terlantar atas jalan Bangsar dan disahkan meninggal dunia oleh anggota ambulans Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut tiada sebarang pengenalan diri dan berumur lingkungan 30-an.

“Siasatan lanjut forensik di tempat kejadian ke atas mayat mangsa mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan di beberapa anggota badan dipercayai diserang dan dicederakan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital PPUM untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis masih membuat sisatan lanjut untuk mengenalpasti motif kejadian dan sedang mengesan waris simati serta latar belakangnya.

“Kami memohon orang awam yang mempunyai maklumat mengenai simati atau mempunyai ahli keluarga yang hilang boleh menghubungi pihak polis di talian 03-22979222 untuk membantu siasatan lanjut.

“Polis juga menyeru orang ramai terus mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan mengamalkan norma baharu memakai pelitup muka bagi menyekat penularan virus Covid-19,” tegasnya.-MalaysiaGazette